Wednesday, October 29, 2014

KEARAH MELAHIRKAN GENERASI MAHIR BERTARANNUM (JOM BERTARANNUM SEMPENA CUTI SEKOLAH)


Pengertian Tarannum Al-Quran

Tarannum adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu tarannama, yatarannamu tarannum yang membawa maksud berdendang atau menyanyi. Dr Ruuhi al-Balbaki, pakar bahasa Arab pula menyatakan bahawa kata akar bagi perkataan tarannum ini ialah rannama, yurannimu, tarnim yang membawa maksud “intonation, modulation, recital, chanting, singing and humming” iaitu yang merangkumi maksud intonasi, nyanyian dan bacaan yang baik.

Tarannum adalah suatu ilmu atau kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses Nada, Rentak dan Irama tertentu.

Nada adalah tingkatan atau tekanan bunyi suara.
Rentak adalah pergerakan yang menghidupkan bunyi suara.
Irama adalah alunan atau bentuk bunyi.

Tarannum adalah suatu istilah yang diguna pakai oleh RasuluLlah SAW. Sabda Baginda:

ما أذن الله لشىء ما أذن لنبى حسن الترنم بالقرأن.
(رواه البخارى)

Maksudnya: "Apa yang diizinkan Allah atas sesuatu itu ialah apa yang diizinkan kepada nabinya yang selalu mengelokkan lagu (tarannum) bacaan al-Quran”.

Sejarah Tarannum

Rasulullah s.a.w. menerima Al-Quran pada tahun 610 masihi. Baginda memerintahkan umatnya membaca Al-Quran dengan suara yang elok serta diperindahkan lagi (tazyin / tarannum). Kemudian terdapat beberapa orang sahabat yang masyhur sebagai qari-qari yang baik antaranya Abdullah bin Mas’ud RA, Abu Musa Asy’ari dan ramai lagi.

Kemudian pada zaman tabiin muncul pula qari-qari seperti Alqamah bin Qis di Kufah (Tahun 62 hijrah). Abdullah b Saib di Mekah (70 hijrah) dan lain-lain. Begitulah sejarah pembacaan Al-Quran bertarannum yang terus berkembang sehingga ke hari ini.

Oleh kerana tarannum sesuatu yang bersifat seni pendengaran (sima’i), maka Jumhur qurra bersepakat bahawa tidak diketahui secara sanadnya bagaimanakah bacaan berlagu Rasulullah s.a.w. itu. Ketika zaman keagungan Islam dahulu, cabang-cabang ilmu Islam begitu pesat berkembang serta mempunyai berbagai aliran (mazhab). Seiring dengan itu, ilmu tarannum juga membangun serta mempunyai berbagai aliran yang popular antaranya: Misri (Mesir).Hijazi (Mekah dan Madinah), Iraqi, Kurdi (sempadan Iraq dan Turki), ‘Ajami (Iran) dan lain-lain. Kini aliran yang paling popular dan diterima di seluruh dunia ialah aliran Misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai tarannum-tarannum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamat itu dari aliran-aliran di atas mengikut budaya mereka serta mengarabkannya untuk bacaan Al-Quran.


Hukum Umum Bertarannum

Berdasarkan kaedah fiqhiyyah serta pandangan alim-ulama, bolehlah kita fahami bahawa hukum bertarannum adalah seperti berikut;
1. Fardhu (kifayah) : jika hanya dengan berlagu dapat mengajak masyarakat ingin mendekati Al-Quran.
2. Sunat : jika dengan berlagu boleh membantu kesempurnaan hati.
3. Harus : untuk mengambil keseronokan mendengar alunan yang indah.
4. Makruh : jika dengan berlagu tiada langsung kebaikan keagamaan diperolehi.
5. Haram : jika mahu menunjuk-nunjuk kepada orang yang mendengar atau riyak atau ujub. Atau jika merosakkan hukum-hukum tajwid, meniru-niru lagu keagamaan lain, meniru-niru lagu penyanyi-penyanyi yang hanya melekakan dan lain-lain.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

اقرؤوا القرأن بلحون العرب وأصواتها، وإياكم ولحون أهل الكتابين وأهل الفسق، فإنه سيجئ بعدي قوم يرجعون بالقرأن ترجيع الغناء والرهبانية والنوح. لا يجاوز حناجزهم مفتونة قلوبهم وقلوب من يعجبهم شأنهم.
(رواه الطبرني والبيهق)

Maksudnya: "Bacalah al-Quran itu dengan gaya lagu dan suara yang berlahjah Arab dan jangan sekali-kali menbaca dengan lagu dan suara yang berlahjah keYahudian atau keNasranian. Demikian juga lagu-lagu ahli fasik/penyanyi (Biduan dan Biduanita). Maka sesungguhnya sepeninggalanku nanti, akan muncul satu golongan yang sengaja membaca al-Quran dengan lagu-lagu yang dipopularkan sebagai nyanyian penghibur, pendeta dan perintih yang tiada melampaui khalkum mereka, hati mereka sudah terfitnah, apa lagi hati mereka yang mengkaguminya".

Kata Ibnu Kathir: “Bahawasanya (berlagu) yang dikehendaki mengikut hukum syarak hanyalah mengelokkan suara yang menimbulkan rasa penghayatan (tadabbur), kefahaman, kekhusyukan, kerendahan hati serta memandu kearah ketaatan kepada Allah SWT.”



Oleh yang demikian sempena musim cuti sekolah Nov-Dis 2014 ini PUPAQSI menjemput adik-adik belajar bertarannum bersama Juara Qari Negeri Selangor 2012 di Taman Melawati Kuala Lumpur. Kelas akan diadakan pada setiap Sabtu bermula 15 Nov 2014 pada jam 11.30 – 1.30 petang selama 16 minggu. Hubungi 019-2202327 U. Zaid untuk info lanjut

No comments:

Post a Comment

PENDAFTARAN KEM CUTI SEKOLAH

Powered byEMF Online Payment Form